Monday, February 7, 2011

BEBAN TUGAS GURU : ( bacalah )

Apa Jadi Jawatankuasa Khas?

TELAH hampir setahun penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung guru sekolah di seluruh negara, diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman ini merupakan perkhabaran gembira buat seluruh guru. Namun sehingga kini para guru masih menanti dengan penuh debaran kerana tiada sebarang perkembangan berkaitan penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut.

Apa yang para guru ingin tahu ialah apakah metadologi kajian yang akan atau telah digunakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut? Sekiranya melalui kaji selidik, mengapa tiada sebarang borang soal selidik diedarkan kepada guru-guru? Sekiranya metadologi temubual digunakan, bilakah masanya para guru akan diberi peluang menyatakan masalah mereka?

Atau sekiranya kajian dilakukan menggunakan teknologi terkini, apakah nombor telefon khas atau emel jawatankuasa khas tersebut yang boleh para guru hubungi. Atau adakah jawatankuasa khas tersebut akan menggunakan teknologi paling terkini iaitu kaedah pemerhatian yang digabungkan dengan teknik remote control?

Namun sehingga kini nampaknya tiada sebarang penyelesaian terhadap permasalahan tersebut, sebaliknya yang timbul ialah ‘lebih kerja’ untuk guru.

Terbaharu, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan yang sememangnya bertujuan murni bagi mencungkil potensi pelajar. Namun malangnya pihak pentadbiran sekolah yang mahu cepat menjadi pengetua atau guru besar cemerlang barangkali, terus cuba mengimplementasi 1Murid 1Sukan seolah-olah Sekolah Kebangsaan (SK) adalah sekolah sukan!

Tidak ada satu garis panduan khusus untuk melaksanakannya. Segalanya bergantung kepada pihak pentadbiran sekolah. Mungkin lebih wajar sekiranya waktu pembelajaran sedia ada pada hari-hari tertentu dianjalkan bagi memberi ruang kepada satu atau dua waktu program 1Murid 1Sukan. Malangnya kebanyakan sekolah mengambil tindakan yang paling popular iaitu guru-guru kena datang waktu petang untuk menjayakan 1Murid 1Sukan.

Para guru sebenarnya sudah tidak kisah untuk pulang lewat setiap petang kerana selepas bersukan dan berko-kurikulum dengan murid-murid sehingga lewat petang, guru-guru akan menjadi semakin cergas. Pada sebelah malamnya ramai guru merasa amat bertenaga untuk menyemak buku nota dan buku latihan pelajar.

Anak-anak pula, kebanyakan guru tidak mempunyai anak untuk dididik. Bagi guru yang mempunyai anak pula, anak mereka akan diserahkan pula kepada masyarakat setempat untuk dididik sebagai balasan guru mendidik anak masyarakat pada sebelah siangnya.

Guru-guru amat mengharapkan sesuatu yang positif daripada jawatankuasa khas tersebut agar permasalahan beban kerja guru dapat diselesaikan dan guru kembali menjadi pendidik yang sebenar-benarnya. Permasalahan ini seharusnya diselesaikan dengan secepat mungkin kerana ia membazirkan masa para guru dan merugikan pelajar.

Justeru para guru seluruh negara amat mengharapkan agar satu transformasi dalam profesyen perguruan akan diumumkan.

NORHISYAM MOHAMAD
Kuala Kedah, Kedah


Sumber: Forum Utusan Malaysia |3 Februari 2011|

Tags: guru, Pendidikan, perjawatan, Perkhidmatan, sekolah

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda...??