Friday, August 12, 2011

Chery Eastar 2.0L – lebih bagus dari Proton Exora?


Chery Eastar, sebuah MPV 7 tempat duduk kategori pertengahan dari negara China. Saya tidak pasti jika ada pembelinya yang tidak tahu bahawa Chery Eastar merupakan produk syarikat automotif dari negara China, tetapi jumlah jualannya boleh dikatakan laris dan dengan mudah kita boleh melihat model ini di atas jalan raya. Mungkin jiran kita atau orang yang kita kenal juga memiliki sebuah Eastar. Ada tarikan istimewa berkenaan model ini barangkali, sudah tentu.



Pertama kali melihat kereta ini berada di atas jalan raya dengan enjin 2.4 liter sewaktu mula diperkenalkan dulu, saya terkejut dan tertanya-tanya sendirian. Pemandu Chery Eastar yang pertama kali saya lihat itu ialah seorang pemandu wanita Melayu dengan no. pendaftaran dari Negeri Kelantan. Dalam fikiran saya ketika itu ialah, mungkin dia tidak tahu kereta yang sedang dipandunya itu kereta buatan China. Yang pasti saya kagum dan sedikit hairan kerana dia berani membeli sebuah Eastar yang ketika itu baru saja diperkenalkan.

Masa berlalu begitu pantas dan sehinggalah hari ini, semakin banyak pula Chery Eastar yang berada di atas jalan raya. Beberapa orang yang saya kenal dengan megahnya memandu model itu, jadi apa lagi yang saya boleh katakan? Apa yang saya fikirkan selama ini terhadap kenderaan buatan China nampaknya kekal di dalam minda saya sahaja, tetapi orang lain telah berubah. Bagaimanapun saya tetap ada persoalan yang belum ada jawapannya, mengapa mereka semua membeli sebuah MPV buatan China sedangkan harganya lebih mahal dari sebuah Proton Exora?

Saya hairan mengapa mereka mengambil risiko untuk membeli sebuah Eastar? Adakah kualitinya lebih bagus dari model Exora? Bukankah jika mereka mampu membelinya bermakna mereka juga mampu membeli sebuah Exora, atau Nissan Grand Livina? Bagi saya Proton Exora mempunyai rekabentuk yang jauh lebih menarik dari Chery Eastar, tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak semua orang berfikir seperti saya.

Chery Eastar yang dijual ketika ini dilancarkan pada bulan Mei 2010 dan menggunakan enjin ACTECO 2.0 liter, 4 silinder, 16 injap DOHC. Varian sebelumnya menggunakan enjin 4G64 2.4 liter dari Mitsubishi. Enjin terbaru ACTECO dibina sendiri oleh Chery dengan kerjasama syarikat AVL dari Austria. Kuasa yang dihasilkan sebanyak 134hp@5,750rpm dan tork maksimum sebanyak 180Nm@4,400Nm. Ianya dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan. Tayar dan rim roda yang digunakan bersaiz 205/55R16, cukup sesuai dengan rekabentuknya yang sporty dan bergraviti rendah.

Menariknya berkenaan enjin ACTECO 2.0 liter ini ialah jaminan yang ditawarkan kepadanya. Untuk lebih ketenangan fikiran, pemilik Eastar boleh menarik nafas lega kerana mendapat 5 tahun waranti atau 200,000 km, yang mana lebih awal. Waranti untuk sebuah Eastar pula ialah 3 tahun atau 100,000 km yang mana lebih awal. Harga sebuah Chery Eastar bermula RM81,988.00 (harga atas jalan, kusyen balutan fabrik) dan RM83,988.00 (harga atas jalan, kusyen balutan kulit).

Antara ciri-ciri standard yang ada ialah kawalan suhu automatik (automatic climate control), MP3/USB audio dengan kawalan audio di stereng, cermin kuasa di semua pintu, beg udara SRS berkembar di hadapan, dan brek ABS dengan EBD. Tidak dilupakan tambahan kit badan dan aksesori minor yang menghiasi keseluruhan model ini berjaya menjadikannya kelihatan lebih sporty dan menawan. Lampu depan dan belakang dengan gaya baru yang lebih cantik juga berjaya membangkitkan serinya.

Dengan harga yang ditawarkan di bawah RM100k, plus rupa yang menawan dan sporty, tidak syak lagi ianya menjadi faktor utama mengapa Chery Eastar mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Namun jika saya diberi pilihan, belum masanya untuk saya membeli sebuah kenderaan buatan China. Sejak kebelakangan ini saya lihat semakin banyak Chery Eastar yang dimodifikasi dengan kit badan penuh yang cukup bergaya. Kepada semua pemilik Chery Eastar sama ada varian 2.4 liter atau 2.0 liter, mungkin boleh berkongsi pengalaman memiliki MPV tersebut di ruangan ini sebagai info yang boleh kita kongsikan bersama.

DIPETIK : http://www.arenakereta.com/chery-eastar-2-0l-lebih-bagus-dari-proton-exora/

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda...??